Thursday, June 18, 2009

amal

Baca al-Quran dua jam sehari

TERBAIK: Shamsul Arifin bersama piala selepas menjadi johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.
Johan qari tak pandai mengaji usia sembilan tahun SHAMSUL Ariffin Supian, 44, dari Hutan Melintang, Perak muncul johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2008 di Jitra, Kedah, minggu lalu. Ikuti temu bual wartawan Berita Harian, MOHD FEROZ ABU BAKAR dengannya. CERITAKAN latar belakang saudara?

Saya berasal dari Kampung Parit 1, Sungai Sumun, Hutan Melintang, Perak dan kini bertugas sebagai guru al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian, dekat Taiping. Saya memperoleh ijazah Sarjana Muda Usuludin dan Falsafah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagaimana ustaz berminat dengan al-Quran? Sebenarnya, ketika berusia sembilan tahun, saya buta al-Quran. Masih tak boleh baca walaupun rakan semua boleh baca al-Quran. Satu hari, abang membawa saya menonton tilawah menerusi televisyen. Pada 1970-an, kami menonton televisyen di rumah orang dengan membayar 20 sen seorang. Dari situ, saya minat dengan bacaan al-Quran secara berlagu. Kemudian, baru saya mula belajar mengaji dengan arwah bapa, Supian Hassan dan khatam dalam tempoh dua tahun saja. Saya kemudian belajar tajwid dengan arwah datuk, Raden Siraj. Datuk saya belajar tajwid di Makkah. Selepas itu, saya banyak belajar sendiri seperti mendengar bacaan al-Quran di radio dan merakam bacaan itu untuk ditiru semula. Pada akhir 1980-an, baru ada kelas taranum, iaitu belajar secara berkaedah.
Apa makna kemenangan ini? Saya masuk pertandingan bukan untuk menang hadiah tapi untuk mengetahui kelemahan dan kelebihan bacaan saya. Sebenarnya, ini kali kelima saya mewakili Perak pada peringkat kebangsaan, iaitu sejak 2003, kecuali 2004. Pembabitan saya dengan bacaan al-Quran berjaya menarik minat pelajar saya untuk menyertai pertandingan pada peringkat sekolah, program Akademi al-Quran di televisyen dan ada yang masuk ke peringkat kebangsaan, bertanding bersama saya. Anak saya juga minat dengan bacaan berlagu. Anak pertama, Faizah, 18, sekarang mengikuti program Darul Quran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dia pernah dua kali juara bacaan al-Quran peringkat sekolah ketika sekolah rendah. Siapa guru ustaz? Ramai. Ketika kanak-kanak, ustaz Tajwid Said. Di Kelantan, guru saya ustaz Nik Jaffar Nik Ismail, Abdul Rahman Hussein, Yahya Daud dan Abdul Rahman Hussin. Seorang hakim pertandingan pering-kat kebangsaan baru-baru ini, Tarmizi Mahmud juga guru saya.
Ada latihan khas atau amalan istimewa? Secara kebetulan, saya memang tak suka ais dan makanan pedas atau berminyak. Saya membaca al-Quran lebih kurang dua jam sehari. Kalau sehari tak baca, rasa hari tak lengkap. Kalau ibu bapa mengamalkan bacaan al-Quran di rumah, hati anak akan lembut. Mereka mudah belajar. Perangai tidak baik pun dapat dielakkan. Dengan syafaat atau kelebihan al-Quran, perkara tak elok dapat dielakkan. Ini rahmat Allah jika kita jadikan al-Quran itu wirid dalam rumah.

No comments:

Post a Comment